Kuasa ajaib lima huruf

Kuasa ajaib lima huruf. 

Apa tu? 


Bukan C.I.N.T.A ya. Amboi. Laju je kan. 


T.A.N.Y.A. 


Christopher M Knight pernah memberikan beberapa tip yang menarik. Antaranya adalah, jika ingin berjaya dalam sesebuah organisasi, kemahiran bertanya soalan yang betul adalah lebih baik daripada tahu semua perkara. 


Bertanya, tanda kita tidak tahu. Bertanya, tanda kita mahu belajar. Bertanya, tanda kita ingin memperbaiki dan meningkat kualiti diri kita. 


M.R Kopmeyer dalam bukunya ‘Bagaimana Memenuhi Keinginan Saudara’ memberikan satu kata ajaib untuk berjaya dalam hidup, iaitu TANYA. 


Katanya, kita akan dapat segalanya yang diinginkan apabila pandai menggunakan kata ajaib ini. Kebahagiaan, cinta, kejayaan, kemewahan, pengaruh, kuasa, populariti, kemasyhuran… apa sahaja. 


Nak jumpa jodoh pun kena banyak bertanya tau! “Awak nak kahwin dengan saya tak?” 


Sebab itu jugalah, wujudnya perumpamaan ‘Malu Bertanya Sesat Jalan’. Kalau dulu bertanya pada orang, sekarang bertanya pada Waze. Betul kan?


Masih ingat kisah Perang Khandak?


Ketika golongan penentang Islam di Semenanjung Tanah Arab bergabung dan merancang hendak menghancurkan umat Islam, penduduk di Madinah menjadi gusar dan takut. 


Pasukan Bersekutu itu bukannya sedikit, ia gabungan beberapa buah suku kaum Arab terbesar, dengan ditambah kekuatan bersama beberapa suku kaum Yahudi di Semenanjung Arab. Apabila dibandingkan dengan kekuatan seluruh umat Islam pada ketika itu pun, belum tentu boleh menang. 


Namun Rasulullah SAW tidak gundah gulana. Baginda mengadakan mesyuarat dengan para sahabat, mencari jalan menghadapi situasi genting ini. Dalam mesyuarat itu, baginda tidak terus membuat keputusan, sebaliknya terus bertanyakan buah fikiran dan idea baru daripada para sahabat. 


Akhirnya, seorang sahabat berbangsa Parsi, Salman Al-Farisi, mengemukakan cadangan menggali parit besar di sekeliling kota Madinah. Cadangan ini diterima dan rancangan pun diatur. Parit sepanjang lima kilometer digali bertujuan menjadi benteng pertahanan daripada Tentera Ahzab dan akhirnya berjaya mematahkan serangan besar-besaran yang diatur Tentera Bersekutu. 


"Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui,"


Surah An Nahl ayat 43.



“Anda ingin menuntut ilmu? Maka banyakkanlah bertanya, pada waktu yang tepat.” 



Comments