Untungnya Jadi Orang Seperti Ini
Dalam kehidupan, ada masanya kita terlalu sibuk melihat kelebihan orang lain sehingga terlupa dengan nikmat yang Allah SWT telah kurniakan kepada kita.
“Untunglah dia kaya.”
“Untunglah dia ada keluarga yang bahagia.”
“Untunglah dia ada pasangan yang baik.”
Tanpa sedar, kita mula merasakan bahawa kehidupan orang lain jauh lebih baik daripada kehidupan sendiri.
Akibatnya, kita semakin sukar untuk bersyukur dan sering merasakan diri ini serba kekurangan.
Namun, pernahkah kita terfikir, siapakah sebenarnya manusia yang paling beruntung dalam kehidupan ini?
Ketika membaca Surah al-Kahfi, saya tertarik dengan satu ayat yang memberikan perspektif berbeza tentang makna sebuah keuntungan.
Allah SWT berfirman:
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّـٰتُ ٱلْفِرْدَوْسِ نُزُلًا
Maksudnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah)."
(Surah al-Kahfi, 18:107)
Menurut Imam as-Sa'di, ayat ini menggambarkan golongan yang benar-benar beriman dengan hati mereka dan melakukan amal soleh kerana mengharapkan keredaan Allah SWT.
Menariknya, Allah tidak menjanjikan Syurga Firdaus berdasarkan kekayaan, populariti atau kedudukan seseorang. Sebaliknya, Allah menyebut dua perkara utama, iaitu keimanan dan amal soleh.
Ini bermakna, peluang untuk menjadi manusia yang paling beruntung sebenarnya terbuka kepada kita semua.
Ada satu lagi perkara yang sangat menarik dalam ayat ini, iaitu perkataan نُزُلًا.
Perkataan ini membawa maksud hidangan atau tempat yang disediakan untuk menyambut dan memuliakan tetamu.
Bayangkan apabila seorang pemimpin negara tiba di lapangan terbang. Kehadirannya disambut dengan penuh penghormatan, bahkan karpet merah dibentangkan untuk meraikannya.
Itu baru sambutan manusia kepada manusia.
Bagaimana pula dengan sambutan yang Allah SWT sediakan untuk orang-orang beriman di syurga?
Sudah tentu jauh lebih hebat daripada apa yang mampu kita bayangkan.
Di dunia, mungkin ada orang yang dipandang rendah. Kebaikannya tidak dihargai. Bahkan, ada masanya dia berasa terasing kerana mempertahankan prinsip agama.
Namun, di akhirat kelak, orang-orang beriman akan menerima kemuliaan yang Allah SWT sediakan.
Seolah-olah seorang pejuang yang akhirnya pulang setelah melalui perjalanan yang panjang dan penuh cabaran.
A hero's welcome.
Ayat ini juga mengingatkan saya supaya jangan terlalu mengejar kehidupan dunia sehingga sanggup menggadaikan prinsip keimanan.
Kadangkala, kerana takut ketinggalan atau FOMO, kita mula mengikut sesuatu yang bertentangan dengan agama. Kita mahu menjadi seperti orang lain sehingga terlupa bahawa segala kenikmatan dunia hanyalah sementara.
Kekayaan boleh hilang. Populariti boleh pudar.
Kegembiraan juga mungkin berakhir.
Tetapi nikmat syurga kekal selama-lamanya.
Sebab itu, jangan sampai kita terlalu sibuk mengejar sesuatu yang sementara sehingga mengorbankan sesuatu yang kekal.
Dalam masa yang sama, ayat ini mengajar kita supaya sentiasa memperbaiki diri.
Kita mungkin bukan manusia yang sempurna. Ada masanya kita melakukan kesilapan dan lalai dalam kehidupan.
Namun, jangan jadikan kelemahan itu sebagai alasan untuk berhenti melakukan kebaikan.
Selagi masih diberikan kehidupan, selagi itulah kita mempunyai peluang untuk bertaubat, meningkatkan keimanan dan memperbaiki amalan.
Akhirnya, saya semakin sedar bahawa manusia yang paling beruntung bukan semestinya mereka yang memiliki segala-galanya di dunia.
Tetapi mereka yang terus menjaga keimanan, berusaha melakukan amal soleh dan akhirnya memperoleh rahmat Allah SWT untuk memasuki syurga-Nya.
Mungkin di dunia kita tidak dikenali. Mungkin kehidupan kita tidak semewah orang lain. Bahkan, mungkin kita tidak menerima penghormatan seperti yang diterima oleh manusia lain.
Namun, tidak mengapa.
Asalkan kita tidak kehilangan peluang untuk menjadi tetamu yang dimuliakan Allah SWT di Syurga Firdaus.
Kerana itulah keuntungan yang sebenar.
Sumber : Telegram Tadabbur Centre

Comments
Post a Comment
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Saya sangat menghargai komen yang diberikan, jika komen itu tidak melanggar apa jua sensitiviti. Kalau ada pelanggaran, saya tidak akan teragak-agak untuk memadamnya tanpa menyiarkannya. Terima kasih!