Ketentuan Allah Itu Baik
Saya mendengar kisah menarik ini dari
seorang ustaz, bahawa Ibnu Taimiyah bercerita tentang seorang menteri yang
selalu menjawab 'baik' setiap kali ditanya pendapatnya tentang sesuatu. Suatu
hari menteri ini menghadiri acara makan malam bersama raja. Ketika sedang
memotong buah, raja dengan tidak sengaja telah mencederakan jari telunjuknya
sendiri. Pisau yang dia gunakan untuk memotong buah telah menyebabkan jari
telunjuknya terpotong dan merasa kesakitan. Raja pun bertanya pada menteri yang
duduk di sebelahnya tentang kejadian yang baru saja dialaminya.
"Baik, wahai Raja," jawab menteri
itu tanpa keraguan.
"Apa? Kamu katakan ini baik?"
Raja terperanjat dengan jawapan itu.
"Ya, wahai Raja. Itu baik."
Raja sangat marah dengan jawapan itu. Mana
mungkin jarinya yang luka parah seperti itu dianggap menterinya sebagai hal
yang baik? Maka dia memerintahkan menteri itu ditangkap dan dimasukkan ke dalam
penjara. Kemudian raja mengunjunginya di penjara dan bertanya padanya,
"Sekarang, apa pendapatmy tentang kedaanmu sendiri, masih mahu berada di
dalam penjara seperti ini?"
"Baik, wahai Raja," jawab menteri
itu tanpa ragu-ragu.
Mendengar jawapan itu, raja menjadi semakin
marah dan segera meninggalkan menterinya sendirian di dalam penjara. Dia
merasakan menterinya itu sangat bodoh dan keterlaluan dalam memberikan
pendapat.
Beberapa hari kemudian, raja pergi berburu
di dalam hutan dan ditemani menterinya yang lain kerana menteri yang biasa
menemaninya telah dipenjarakan untuk menemani. Mereka pun berangkat dengan kuda
menuju ke hutan. Oleh kerana menteri yang baru tidak biasa dengan cara raja
menunggang kuda, akhirnya dia tertinggal jauh di belakang. Mereka terpisah dan
raja sendiri akhirnya tersesat di dalam hutan.
Bukan hanya tersesat, raja juga ditangkap
oleh sekumpulan penyembah berhala yang tinggal di dalam hutan itu.Raja tersebut
ditahan oleh para penyembah berhala dan ditetapkan oleh mereka sebagai korban
untuk berhala mereka. Mereka melakukan upacara selama tujuh hari dan pada hari
ketujuh mereka membawa raja ke tempat persembahan. Saat raja sudah siap untuk
dikorbankan, mereka melihat jari telunjuk raja terpotong, lalu mereka menjadi
ragu untuk mengorbankan raja.
"Kita hanya mempersembahkan yang
terbaik dan sempurna untuk berhala kita." Kata ketua suku yang memimpin
upacara tersebut. "Orang ini jari telunjuknya terpotong, jadi dia tidak
layak menjadi korban." Dengan itu mereka melepaskan raja tersebut dan
beliau kembali ke kerajaannya dengan perasaan yang gembira.
Selang beberapa hari selepas peristiwa itu,
raja teringat akan kata-kata menteri yang telah membuatnya marah ketika jarinya
terpotong. DIa segera ke penjara dan berkata pada menteri itu, "apa yang
kamu katakan waktu jari saya terpotong memang betul. Itu memang hal yang
baik." Lalu raja menceritakan apa yang telah dialaminya hingga dia
akhirnya selamat dari ancaman kematian.
Menteri itu tersenyum sambil berkata,
"Saya berada di dalam penjara ini juga baik kerana jika saya pergi dengan
raja pada hari itu, saya juga turut tertangkap. Tentu saya yang akan dijadikan
korban kerana anggota tubuh saya lengkap dan tidak ada yang cacat."
Maka Ibnu Taimiyah menutup cerita ini
dengan mengatakan, "Semua yang ditetapkan oleh Allah adalah baik."
Ya, semua yang ditentukanNya baik, walaupun
kita mungkin belum atau tidak mengetahui kebaikan yang ada di sebalik ketentuan
itu.
Sumber : Buku Bila Allah Menduga Kita karya
Alwi Alatas
Comments
Post a Comment
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Saya sangat menghargai komen yang diberikan, jika komen itu tidak melanggar apa jua sensitiviti. Kalau ada pelanggaran, saya tidak akan teragak-agak untuk memadamnya tanpa menyiarkannya. Terima kasih!