Bersyukur dan Jangan Suka Membanding
Dalam kehidupan hari ini, ramai manusia hilang rasa syukur kerana terlalu sibuk membandingkan hidup sendiri dengan orang lain. Melihat orang lain lebih kaya, lebih berjaya, lebih cantik, lebih bahagia, akhirnya hati menjadi sempit, jiwa tidak tenang, dan nikmat yang ada terasa tidak cukup.
Sedangkan Islam mengajar kita agar melihat kepada mereka yang kurang daripada kita dalam urusan dunia, supaya lahir rasa syukur. Rasulullah ﷺ bersabda: “Lihatlah kepada orang yang berada di bawah kamu, dan jangan melihat kepada orang yang berada di atas kamu. Itu lebih patut supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah ke atas kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Kadangkala kita lupa, apa yang kita iri pada orang lain mungkin datang bersama ujian yang kita tidak mampu tanggung. Kita melihat senyumannya, tetapi tidak melihat air matanya. Kita melihat kejayaannya, tetapi tidak melihat pengorbanan dan kesulitannya. Hakikatnya, setiap orang sedang diuji dengan cara yang berbeza. Ada yang diuji dengan kekurangan, ada yang diuji dengan kemewahan. Ada yang diuji dengan kesusahan, ada yang diuji dengan kesenangan. Allah SWT berfirman: “Dan jika kamu bersyukur, pasti Aku akan menambah (nikmat) kepadamu.” (Surah Ibrahim: 7) Syukur bukan bererti kita berhenti berusaha untuk menjadi lebih baik. Tetapi syukur bermaksud hati reda dengan apa yang dimiliki sambil terus berusaha memperbaiki kehidupan dengan cara yang halal dan diberkati. Jangan terlalu membandingkan perjalanan hidup kita dengan orang lain, kerana Allah menulis takdir setiap manusia dengan cerita yang berbeza. Boleh jadi kita tidak memiliki segalanya, tetapi jika masih diberi iman, kesihatan, keluarga, makanan, dan ketenangan hati, itu sudah nikmat yang sangat besar. Kurangkan membanding, perbanyakkan bersyukur. Kerana hati yang bersyukur lebih tenang daripada hati yang sentiasa merasa kurang.Sumber : Kapsul Tazkirah
Comments
Post a Comment
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Saya sangat menghargai komen yang diberikan, jika komen itu tidak melanggar apa jua sensitiviti. Kalau ada pelanggaran, saya tidak akan teragak-agak untuk memadamnya tanpa menyiarkannya. Terima kasih!